Segala pujian bagi
Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam, pujian yang melengkapi segala nikmatNya
dan membalas limpah kurniaNya. Wahai Tuhan kami, bagi Mu segala pujian seperti
yang selayaknya dengan kebesaran zat Mu dan keagongan Mu. Cucurilah rahmat Mu
dan sejahtera ke atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W berserta ahli keluarga
dan sekelian sahabat a.s.
Ya Allah wahai Tuhan
kami dengan berkat kebenaran kitab Suci Al-Quran Al- Hakim dan dengan kebenaran
orang-orang yang Dikau pilih dengan pangkat pemerintahannya dan pertunjukkan
kepada jalan-jalan yang betul. Tuhan yang sedia mengetahui segala yang telah
berlaku dan yang akan berlaku.
Ya Allah Tuhan yang
melepaskan segala kerungsingan. Kami mohon kepada Mu semoga Engkau arahkan kami
kepada jalan-jalan keredhaan Mu. Menjadikan kami sebagai warga kebahagiaan dan
kekayaan Mu untuk mencapai segala kebesaran dan kehebatan.
Ya Allah wahai Tuhan
kami semoga Engkau perbetulkanlah akidah Umat Islam di bumi bertuah ini. Hanya
kepada Engkau kami mohon segala perlindungan dan pertolongan. Ampunkan kami,
maafkan kami, kasihani kami agar negara tercinta ini kekal aman dan makmur.
Ya Allah wahai Tuhan
kami, berilah kesihatan terpuji kepada kami dan kepada orang-orang yang Engkau
pilih untuk memimpin kami. Tunjukkanlah jalan-jalan yang Engkau redhai bukan
jalan-jalan yang Engkau tidak kehendaki. Di antara hamba-hamba Mu yang Engkau
pilih menjadi pemimpin kami siapakah yang patut kami taati. Di antara Najib
dengan Anwar. Di antara Mahathir Mohamad dengan Nik Aziz Nik Mat. Siapakah yang
patut kami patuhi pemerintahannya agar tidaklah Engkau murka akan kami dan
melaknatkan hidup kami sebagaimana Engkau musnahkan kehidupan orang-orang
sebelum kami. Engkau pupuskan kaum Nabi Nuh A.S. Engkau hapuskan kaum Nabi Lut
A.S. Sesungguhnya kami takut ya Allah dengan kemurkaan Mu.
Di antara 4 pemimpin
kami yang disebutkan, yang Engkau berikan ilmu agama hanyalah tok guru kami Nik
Aziz Nik Mat. Ajaran dan pandangannya kami hormati. Sepatutnya kami bersatu,
disebaliknya kami berseteru.
Ya Allah wahai Tuhan
kami, Engkau berikanlah keinsafan dan kesedaran agar kami semua di pihak yang
benar, bermaaf-maafan dan bersatu di dalam menghadapi segala ancaman
musuh-musuh kami mahu pun tipu helah syaitan. Peliharalah kami daripada segala
kejahatan dunia dan azab api neraka.
Ya Allah wahai Tuhan
kami, semua manusia tidak lepas daripada melakukan kejahatan dan kesilapan.
Begitulah pemimpin kami yang kami kasihi. Ampunkanlah, maafkanlah dan
kasihankanlah kami kerana kami semua adalah umat Rasulullah S.A.W dan menyembah
hanya Engkau.
Ya Allah wahai Tuhan kami,
di dalam menghadapi Pilihanraya Umum Ke 13 semoga Engkau pertunjukkanlah segala
kebenaran dengan jelas dan nyata agar kami semua boleh bernaung di bawah
Panji-Panji Islam, agama yang Engkau redhai. Engkau padamkanlah api kemarahan.
Engkau hilangkanlah segala kebencian. Najib mendengar cakap Mahathir, Nik Aziz
pula mendengar cakap Anwar. Siapakah yang bercakap benar?
Ya Allah, kami
benar-benar memohon agar Engkau buka pintu hati Nik Aziz sehingga dapat melihat
sebenar-benar kebenaran kerana kunci perpaduan dan persengketaan bangsa Melayu
di tangannya. Kata-kata nista dan cacian tidak keluar dari mulut seorang ulama
pewaris Nabi S.A.W, apa lagi tohmahan berunsur fitnah, buruk sangka, dendam
kesumat dan kebencian melampau sehingga hilang nikmatnya.
Barang dicucuri Allah
akan rahmat dan sejahtera jua atas junjungan kami Nabi Muhammad S.A.W serta
keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian. Segala pujian bagi Allah Tuhan
pentadbir seluruh alam.
No comments:
Post a Comment